Harga: RM 10

 

Sinopsis Buku

345 Tip & Manual Persediaan “Pra-Haji Mabrur”

 

Untuk mendapat haji mabrur memerlukan persediaan yang benar-benar mantap baik dari aspek kewangan, ilmu pengetahuan, penghayatan dan kesihatan. Bakal haji perlu memandang serius tentang faktor ini dan membuat persediaan secara terancang, sistematik dan penuh keiltizaman sejak dari awal lagi. Sehubungan itu, penggarapan ibadah haji yang berpotensi menduduki tahap haji mabrur itu perlu bermula seawal lima tahun baik dalam aspek ilmu pengetahuan, juga dalam aspek kefahaman, penghayatan serta keperkasaan fizikal dan kesihatan diri individu bakal jemaah haji.

 

Namun apa yang biasa berlaku di kalangan bakal-bakal haji adalah sebaliknya. Mereka hanya membuat persediaan pada saat-saat akhir lantaran kesibukan tugas dan masalah harian yang tidak pernah kunjung habis. Sebahagian besar bakal-bakal haji telah terlepas pandang atau sengaja tidak mengendahkan segala tuntutan, hikmah, fadilat serta kelebihan haji mabrur tersebut. Mereka pergi ke tanah suci dengan berbekalkan ilmu pengetahuan yang paling minima, minda dan kefahaman yang sempit dan penghayatan yang kabur, lesu dan longlai, serta kesihatan diri yang rapuh dan mudah tergugat oleh serangan penyakit.

 

Justeru, penulis yang telah mendapat anugerah Allah swt mengunjungi tanah suci berkali-kali merasa terpanggil untuk tampil ke hadapan bagi membantu para jemaah bakal-bakal haji membuat persediaan yang rapi sebelum melangkahkan kaki mengerjakan rukun Islam yang kelima itu. Buku ini memiliki keistimewaan tersendiri di mana penulis berjaya memaparkan pelbagai tip-tip yang mesti dilakukan oleh seorang muslim yang bercita-cita mahu menunaikan ibadah haji tersebut. Buku ini menyediakan tip & manual persediaan 5 tahun , 1 tahun, 6 bulan, 3 bulan, 1 bulan, 1 minggu sebelum berangkat dan pada hari keberangkatan. Sebuah buku yang sangat lengkap dan penuh maklumat berguna. Tip & manual ini digarap dan dititipkan berdasarkan pengalaman dan pengamatan penulis yang berpengalaman luas di dalam pelaksanaan haji dan umrah.